ahlan wa sahlan

PASTIKAN HIDUP ANDA BERJAYA DUNIA DAN AKHIRAT

Monday 26 March 2012

Peranan Golongan Bangsawan di Asia


PERANAN GOLONGAN BANGSAWAN DALAM MASYARAKAT TRADISIONAL DI ASIA TENGGARA DAN ASIA TIMUR.

Dalam hierarki masyarakat dan pemerintahan di Asia, kedudukan kelas pertengahan yang terdiri daripada golongan bangsawan begitu penting sekali.  Golongan pembesar merupakan tulang belakang bagi system pemerintahan sesebuah negara kerana golongan ini bertanggungjawab membantu raja atau maharaja.  Selain itu, golongan bangsawan juga bertanggungjawab terhadap orang di bawahnya.  Golongan bangsawan juga menjaga kepentingan ekonomi negara, khususnya hal ehwal percukaian dan perdagangan.  Peranan golongan bangsawan dalam aspek ketenteraan juga tidak boleh dinafikan kerana sebahagian besar pembesar terlibat secara langsung dalam peperangan.  Terlalu banyak istilah yang digunakan bagi mewakili golongan bangsawan dan berlainan pula gelarannya di Asia Tenggara dan Asia Timur, namun peranan merekan tetap sama.

 Sumatera

Acheh khususnya,  golongan bangsawan sangat penting dalam bidang pemerintahan dan juga pertahanan negara.  Pembesar di Acheh dikenali sebagao Uleebalang yang bertugas sebagai pengawai peribadi kepada raja. Uleebalang akan mengiringi raja dalam urusan di luar istana untuk menjaga keselamatan raja.  Contoh Uleebalang yang terkenal di Acheh ialah Raja Pakeh Dalam.

Myanmar

Golongan bangsawan yang bertindak dalam system pemerintahan lebih memperlihatkan keutuhan status golongan ini.  Ini kerana pembesar mempunyai fungsi sendiri dan membentuk suatu kerjasama antara pembesar.  Terdapat beberapa jawatan yang disandang oleh golongan pembesar seperti raja Muda, Wungyi, Wundauk, Antiwun dan lain-lain.  Setiap daripada mereka mempunyai pengkhususan tugas masing-masing tetapi saling membantu.  Contohnya, Wundauk membantu Wungyi dalam menguruskan pentadbiran negara.

Vietnam

Golongan bangsawan Vietnam dikenali sebagai Quan.  Quan mengetuai sebuah kementerian.  Contohnya, pada masa Dinasti Nguyen terdapat enam kementerian iaitu hal Ehwal Awam, Kerja Raya, Kewangan, Upacara Keagamaan, Kehakiman dan Pertahanan.  Selain itu, terdapat juga pembesar yang dilantik untuk menjalankan pemerintahan di peringkat daerah.  Pembesar peringkat ini bertugas memungut cukai, menjalankan upacara keagamaan dan adat istiadat, termasuk juga kerja pemilihan tentera untuk negara.

Siam

Golongan yang menjadi wakil kepada raja untuk menjalankan dasar-dasar kerajaan dikenali sebagai Khunnang.  Para pembesar akan mengetuai sebuah jabatan atau krom. Pembesar yang memegang jawatan sebagai ketua jabatan akan menerima gelaran tertentu daripada raja.  Contohnya, ketua Jabatan  Perhutanan memakai gelaran Samuha Phra Kalahon yang turut bertanggungjawab terhadap wilayah selatan Siam, manakala wilayah utara dikawal oleh Ketua Krom Mahattaj.  Pembesar yang berpangkat rendah tidak kurang pentingnya menyumbang tenaga bagi melicinkan pentadbiran negara khususnya dalam urusan tanah, kewangan dan hal ehwal di istana.

Jepun

Pembesar di Jepun lebih berkuasa jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia.  Mereka terlibat secara langsung dalam aspek pertahanan dan ketenteraan. Golongan bangsawan yang dimaksudkan ialah Shogun yang membentuk pemerintahan bersifat militer(ketenteraan).  Keadaan ini wujud kerana rakyat memerlukan perlindungan daripada golongan pembesar yang terdiri daripada hulubalang.  Terdapat juga golongan bangsawan yang berperanan penting dalan ekonomi seperti Daimyo yang menjadi pembantu Shogun.  Mereka ini bertindak sebagai tuan tanah sekaligus menguasai tanah-tanah pertanian yang diuruskan oleh golongan samurai dan karo.  Golongan bangsawan Jepun menganggotai beberapa badan pentadbiran negara seperti Majlis Penasihat agung, Majlis Tertua dan Majlis Kehakiman.

China

Golongan pembesar di China pula lebih mementingkan kelayakan akademik.  Keadaan ini wujud kerana pengaruh dari ajaran confuciuos.  Golongan bangsawan yang berpendidikan tinggi akan lebih mudah mendapat tempat dalam institusi pemerintahan, bahkan masyarakat lebih memandang mulia kepada golongan penjawat awam yang mempunyai pendidikan tinggi.  Golongan bangsawan memainkan peranan penting dalan bidang ketenteraan dan ada yang menjadai pembesar daerah untuk memastikan wilayah tersebut terjamin keamanan dan keselamatannya.  Adunan antara golongan pembesar daripada kalangan tentera dan sarjana telah memantapkan politik negara China yang besar serta tidak mempunyai sistem pemerintahan secara berpusat itu.



Para pembesar memainkan peranan yang begitu p[enting dan menjadi nadi penggerak dalam sesebuah kerajaan.  Sebahagian besar daripada golongan bangsawan terdiri daripada kaum kerabat diraja.  Oleh yang demikian, mereka perlu berkhidmat dengan penuh taat setia demi kepentingan dinasti mereka.  Mereka bertenggungjawab dalam bidang politik, ekonomi, ketenteraan dan hubungan baik dengan golongan bawahan.  Walau bagaimanapun, peranan golongan bangsawan mulai terhapus apabila kuasa-kuasa Barat menguasai negara-negara Asia.

No comments:

Post a Comment