Bincangkan sistem politik masyarakat Melayu tradisional sebelum
campurtangan British.
A. Pengenalan (3markah)
. Kesemua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan mempunyai sistem
politik yang sama. Sistem politik di negeri-negeri Melayu adalah berasaskan
kepada sistem politik zaman Kesultanan Melayu Melaka.
. Sebelum campurtangan British, sistem politik di negeri-negeri Melayu boleh
dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu negeri, daerah atau jajahan dan kampung
sementara sistem politik di negeri Sembilan pula berasaskan adat perpatih.
. Namun begitu, selepas campur tangan British pada tahun 1874, sistem politik di
negeri Melayu telah dibahagikan kepada empat peringkat iaitu
negeri,daerah/jajahan, mukim dan kampung.
B. Isi-Isi (20 markah)
. Peringkat Negeri
Dalam sistem politik Melayu tradisional, unit politik yang terbesar ialah negeri,
Pentadbiran sesebuah negeri Melayu diketuai oleh sultan ataupun raja.
Sultan atau Raja merupakan pemegangn kuasa politik tertinggi dalam pentadbiran
sesebuah negeri.
Sultan atau raja akan dibantu oleh pembesar dalam melaksanakan pentadbiran
sesebuah negeri Melayu. Mereka digelar pembesar 4, 8,16 dan 32.
Contoh di Perak, pembesar 4 yang membantu Sultan melaksanakan pentadbiran
sesebuah negeri ialah Raja Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung Paduka
Raja dan Menteri Seri Paduka Tuan. Di Kedah pula, pembesar empatnya digelar Seri
Paduka Maha Menteri, Seri Paduka Laksamana, Paduka Maharaja Temenggong
Anggota Besar dan Seri Maharaja Putra Dewa. Sementara di Pahang pembesar
empatnya digelar Orang Besar Indera Maharaja Perba Jelai, Orang Kaya Indera
Segera Temerloh, Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor dan Orang Kaya Indera
Syahbandar. Di Kelantan pula, pembesar empatnya digelar Raja Bendahara, Raja
Temenggung, Paduka Menteri dan Engku Besar Jeram.
Sementara sistem politik di negeri Sembilan pula adalah berasaskan Adat Perpatih.
Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan akan dibantu oleh Undang Empat yang
terdiri daripada Undang Sungai Ujong, Undang Jelebu, Undang Rembau dan Undang
Johol bagi melaksanakan pentadbiran negeri.
Bagi memperkukuh kedudukan sultan atau raja dalam pentadbiran negeri-negeri
Melayu, sultan atau raja seringkali dikaitkan dengan konsep “daulat”. Kedaulatan
seseorang sultan diperkukuh melalui bahasa, warna, alat kebesaran dan nobat.
Contohnya, warna kuning sebagai warna Diraja. Sultan atau raja juga mempunyai
peralatan kebesaran seperti gendang, nobat, serunai, nafiri, payung, cop mohor, tapak
sireh, pedang, keris panjang, lembing, mahkota dan sebagainya.
Perlantikan seseorang sultan dan raja bagi mentadbir sesebuah negeri Melayu
biasanya dilakukan berasaskan sistem warisan Perak yang menggunakan sistem
giliran.
Menurut sistem warisan, apabila seseorang Sultan ataupun raja mangkat, putera
sulong sultan daripada permaisuri berdarah raja berhak mewarisi takhta kerajaan.
Bakal pengganti sultan digelar Raja Muda ataupun Tengku Mahkota. Mereka akan
dilantik sebagai sultan atau raja sebelum jenazah sultan dimakamkan.
Sementara di Perak, perlantikan seseorang Sultan ataupun raja akan dilakukan
melalui sistem giliran. Melalui sistem ini, bakal sultan perlulah memegang jawatan
raja di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda.
Perlantikan yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pula dilakukan oleh Undang
Empat di kalangan putera yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
. Peringkat Daerah
Bagi melicinkan pentadbiran, setiap negeri dipecahkan pula kepada beberapa daerah
atau jajahan.
Pentadbiran daerah atau Ketua Jajahan mendapat tauliah daripada Sultan atau raja.
Mereka mempunyai cop mohor sendiri untuk melaksanakan tugas dan mempunyai
kuasa penuh dalam kawasan pentadbiran masing-masing. Kawasan pentadbiran
adalah bergantung kepada kawasan yang diperuntukkan dalam surat tauliah yang
dikurniakan oleh sultan atau raja. Pembesar daerah atau jajahan bertanggungjawab
kepada sultan atau raja.
Kedudukan pembesar daerah adalah sangat penting dalam sistem pemerintahan
negeri-negeri Melayu. Pembesar daerah sangat rapat dengan rakyat. Oleh itu mereka
sangat berkuasa dan penting sebagai perantaraan antara Sultan dengan rakyat. Justeru
itu, terdapat kes-kes di mana pembesar daerah lebih berkuasa daripada Sultan.
Contohnya di Perak, pembesar daerah berhak memilih bakal sultan dan berkuasa
menyingkirkan sultan yang mereka tidak disukai.
Pembesar daerah dibenarkan memungut cukai di daerah yang diperuntukan kepada
mereka sebagai pendapatan mereka. Sebahagian kecil daripada cukai tersebut akan
diserahkan kepada sultan sebagai tanda taat setia. Contohnya Sultan Perak akan
diberikan sebanyak RM 6.00 bagi tiap-tiap bahara bijih timah yang dieksport dari
mana-mana daerah di Perak oleh pembesar daerah.
Kekuasaan dan pengaruh pembesar daerah lazimnya berdasarkan kepada jumlah
pengikutnya.
Antara Pembesar daerah ialah Long Jaafar dan Ngah Ibrahim di Larut, Dato Maharaja
Lela di Pasir Salak, Dato Sagor di Kampung Gajah, Raja Jumaat di Lukut, Raja
Abdullah di Kelang, Dato Bahaman di Semantan dan sebagainya.
. Peringkat Kampung
Kampung merupakan unit politik yang paling kecil dalam sistempolitik di negerinegeri
Melayu.
Pentadbiran kampung diketuai oleh Penghulu ataupun Tok Kweng di Kelantan.
Mengikut adat, penghulu dipilih berdasarkan keturunan. Mereka yang dipilih akan
dilantik oleh sultan dengan cara menganugerahkan surat tauliah.
Penghulu akan menjadi perantaraan antara Pembesar Daerah dan rakyat.
Penghulu tidak dibayar gaji tetapi memperolehi pendapatan daripada hasil cukai yang
dipungut daripada anak kampungnya.
Sementara di Trengganu, semasa pemerintahan Sultan Omar, penghulu
bertanggungjawab terus kepada baginda.
C. KESIMPULAN (2 markah)
Sistem politik Melayu tradisional yang berasaskan Kesultanan Melayu Melaka telah
memberikan sultan dan raja kuasa mutlak untuk mentadbir sesebuah negeri Melayu.
Sementara bagi membantu sultan melaksanakan pentadbiran negeri, diwujudkan
jawatan pembesar peringkat pusat,, daerah bagi mentadbir daerah dan penghulu pula
mentadbir kampung. Selepas campurtangan British sultan tidak mempunyai kuasa
dalam pentadbiran negeri, sementara peranan pembesar daerah telah diambilalih oleh
Pegawai Daerah British. Pentadbir peringkat mukim dan kampung pula diketuai oleh
pembesar Melayu yang sanggup bekerjasama dengan British.
No comments:
Post a Comment